Sebutan Semula Kes Bunuh Pelajar KV Lahad Datu 27 Jun Ini

Sebutan Semula Kes Bunuh Pelajar KV Lahad Datu 27 Jun Ini

0
SHARE

LAHAD DATU: Mahkamah Majistret di sini, semalam telah menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes 13 pelajar Kolej Vokasional (KV) yang menghadapi pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun pada Mac lalu.

Mereka yang berusia antara 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh mangsa, Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac lalu. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mari mandatori jika disabit kesalahan.

Prosiding yang dibuat dihadapan Majistret Nur Asyarf Zolhani dijalankan secara tertutup kerana kes itu melibatkan pesalah bawah umur.

Pendakwaan pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao sementara tujuh daripada 13 remaja lelaki tersebut diwakili peguam, Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye dan Amirul Amin Rashid.

Seorang lagi remaja diwakili peguam Abdul Gani Zelika dan lima lagi tidak diwakili peguam.

Media turut dimaklumkan oleh Ram bahawa laporan kimia serta bedah siasat kes itu masih belum siap dan 27 Jun ditetapkan untuk penyerahan dokumen.

Katanya lagi, pihaknya akan memfailkan jaminan untuk tujuh anak guamnya di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini.

Pada 22 Mac lalu, Mohamad Nazmie Aizzat ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian tubuh di sebuah bilik asrama kolej itu.

Berikutan itu, 13 pelajar kolej vokasional itu ditahan reman.