Air Asia X Lancar Laluan KUL-BAH-LGW, Bahrain Hab Global Pertama

Air Asia X Lancar Laluan KUL-BAH-LGW, Bahrain Hab Global Pertama

0
SHARE

MANAMA: AirAsia X (AAX) Berhad semalam mengumumkan pelancaran dua laluan antarabangsa baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Bahrain dan seterusnya ke London Gatwick (KUL-BAH-LGW), sekali gus menandakan fasa baharu pengembangan global syarikat penerbangan jarak jauh tambang rendah itu.

Laluan Bahrain–London akan menjadi laluan Kebebasan Kelima kedua bagi AAX dan menjadikan Bahrain sebagai hab global pertamanya di luar Asia.

Perkhidmatan strategik yang bermula 26 Jun 2026 itu dijangka memperkukuh hubungan antara Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah melalui model hab yang lebih bersepadu dan berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AAX, Tony Fernandes berkata, langkah berkenaan merupakan pencapaian penting dalam fasa pertumbuhan seterusnya syarikat.

Menurutnya, Bahrain menawarkan kedudukan strategik untuk memperkukuh kesalinghubungan rentas benua, di samping membuka peluang kepada ekosistem perniagaan Capital A termasuk kargo dan kejuruteraan.

Beliau turut memaklumkan ketibaan penerbangan pertama Teleport ke Bahrain sebagai sebahagian daripada strategi menjadikan negara itu hab logistik utama serantau.

Menteri Kewangan dan Ekonomi Nasional Bahrain, Shaikh Salman Khalifa Al Khalifa pula menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pelaburan strategik yang akan memperkukuh kedudukan Bahrain sebagai pintu masuk utama serantau.

Katanya, inisiatif itu berpotensi menjana peluang pekerjaan dalam sektor penerbangan serta merangsang pertumbuhan industri pelancongan, logistik dan hospitaliti.

Dengan pelancaran laluan baharu ini, AAX terus memperluas rangkaian globalnya yang merangkumi lebih 150 destinasi.

Kuala Lumpur kekal sebagai pintu masuk utama yang menghubungkan 95 destinasi di 23 negara Asia dengan hampir 2,000 penerbangan mingguan.

Laluan KUL-BAH-LGW yang dikendalikan pesawat A330 itu turut membuka akses lebih luas kepada pelancong dari Australia, Indonesia dan Vietnam ke Bahrain dan London pada tambang lebih mampu milik.

Bagi meraikan pelancaran tersebut, AAX menawarkan tambang promosi bermula RM99 sehala ke Bahrain dan RM199 sehala ke London untuk tempahan sehingga 22 Februari 2026 bagi perjalanan antara 26 Jun hingga 30 November 2026.

Pilihan Premium Flatbed turut ditawarkan bermula RM2,999 sehala. Tempahan boleh dibuat menerusi laman web rasmi dan aplikasi AirAsia MOVE.