Hajiji Iringi TYT Sabah ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-271 di Istana Negara

Hajiji Iringi TYT Sabah ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-271 di Istana Negara

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271 yang berlangsung di Istana Negara, pada Rabu.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan menjadi platform penting dalam memastikan urusan kenegaraan.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Hajiji berkata, kehadiran beliau adalah bagi mengiringi Tun Musa Aman ke mesyuarat tersebut yang menghimpunkan Raja-Raja Melayu bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pentadbiran negara.

“Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ini merupakan platform penting dalam memastikan urusan kenegaraan dan hal ehwal Persekutuan berjalan selaras dengan Perlembagaan serta kepentingan semua negeri,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar segala perbincangan yang berlangsung membawa kebaikan kepada negara serta memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Terdahulu pada Selasa, Hajiji menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-148 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen di sini.