TONGOD: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) memberi jaminan untuk meneruskan pembinaan Projek Kompleks Sukan Tongod yang tertangguh sejak Julai tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, lawatan kerja Menteri KBSK, Datuk Nizam Datuk Seri Abu Bakar Titingan ke tapak projek itu kelmarin menjadi titik penting dalam usaha menyelesaikan kemelut projek berkenaan yang sebelum ini dikaitkan sebagai “projek gajah putih”.
Beliau berkata, menteri memberi jaminan bahawa kementerian akan mengambil tindakan segera termasuk melantik kontraktor baharu bagi menyiapkan projek tersebut dalam tempoh terdekat.
“Saya berpuas hati kerana menteri sendiri memberi jaminan Kompleks Sukan ini akan diberi perhatian secara tuntas dan kontraktor baharu akan dilantik untuk menyiapkannya secepat mungkin.
“Saya sendiri akan mengambil peranan untuk menyusul dan memastikan projek ini dipercepatkan,” katanya ketika ditemui media di tapak projek berkenaan, pada Rabu.
Menurut Masiung, projek itu pada asalnya diperjuangkan untuk dilaksanakan di Tongod bagi memenuhi keperluan kemudahan sukan penduduk setempat, namun pelaksanaannya terjejas akibat kegagalan kontraktor terdahulu yang dilantik oleh kerajaan sebelum ini.
Beliau sebelum ini turut membangkitkan isu berkenaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada Disember lalu dan mendesak agar KBSK mengambil tindakan tegas bagi memastikan projek yang terbengkalai itu disiapkan segera.
Sehubungan itu, Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO menggesa kementerian supaya meneliti keupayaan serta rekod prestasi kontraktor baharu yang bakal dilantik agar kelewatan yang sama tidak berulang.
Turut hadir dalam lawatan kerja tersebut ialah Pembantu Menteri KBSK, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu, Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansor Adun serta Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee.






