RM200 Buat Pelajar Tingkatan Enam di Tongod yang Melanjutkan Pengajian

RM200 Buat Pelajar Tingkatan Enam di Tongod yang Melanjutkan Pengajian

0
SHARE

BELURAN: Pelajar Tingkatan Enam Atas dari Tongod yang melanjutkan pengajian di luar daerah bakal menerima bantuan sokongan tunai RM200 seorang mulai hujung tahun ini menerusi inisiatif baharu yang diperkenalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.

Masiung berkata, bantuan itu diwujudkan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya dalam membuat persediaan anak-anak melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Beliau mengumumkan inisiatif berkenaan ketika Majlis Kesyukuran Pengundi Luar sempena kemenangan calon GRS DUN Kuamut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 di Dewan Kampung Toninting, Ulu Sapi Nangoh, Sabtu lalu.

Menurutnya, bantuan tersebut akan disalurkan menerusi peruntukan ADUN Kuamut kepada pelajar daripada tiga sekolah menengah di daerah Tongod, iaitu Sekolah Menengah Penangah, Sekolah Menengah Tongod dan Sekolah Menengah Entilibon.

“Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa di samping memberi dorongan kepada pelajar untuk terus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu akan diteruskan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat bagi memastikan lebih ramai anak Tongod mendapat sokongan dalam meneruskan pendidikan.

Sebelum ini, Masiung turut menyumbangkan tiga buah bas sekolah kepada Sekolah Menengah Penangah, Sekolah Menengah Tongod dan Sekolah Menengah Entilibon bagi memperkukuh kemudahan pengangkutan pelajar di daerah berkenaan.

Katanya, usaha itu mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkasakan sektor pendidikan di Tongod, selain melengkapi pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan di peringkat negeri.