PUTRAJAYA, SELANGOR – Kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) akan segera menggerakkan pelan kecemasan bagi memastikan keselamatan jemaah haji Malaysia sekiranya berdepan sebarang bencana di Tanah Suci.
Memetik sumber Harian Metro, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pelan ‘B’ itu sudah tersedia dan dirancang bersama kerajaan Arab Saudi.
“TH dan saya secara peribadi dengan Menteri Haji (Arab Saudi), kita sentiasa berhubung dan jaminan yang kita berikan apa saja bentuk musibah dan sebagainya, kerajaan Arab Saudi sentiasa bersedia dengan pelan alternatif.
“Yang penting ialah keselamatan dan kebajikan jemaah haji di seluruh negara khususnya Malaysia. Kebajikan dan keselamatan mereka adalah keutamaan kepada TH dan kerajaan Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, semalam.
Bahagian utara Arab Saudi dilanda banjir kilat baru-baru ini, yang menyebabkan penutupan sekolah dan jalan, manakala Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi (NCM) mengeluarkan amaran perjalanan.
Laporan Sky News dan media lain yang tular di media sosial pula menunjukkan banjir kilat yang bermula Isnin lalu melanda wilayah Al-Ula dan Madinah menyebabkan banyak kenderaan hampir tenggelam dan dihanyutkan arus deras.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, wakil Konsulat Malaysia di Arab Saudi akan memberi taklimat setiap hari kepadanya berhubung perkembangan jemaah haji negara di sana.
Katanya, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berangkat ke Tanah Suci pada 9 Mei ini.
“Saya diberikan taklimat itu setiap hari, mengenai perkembangan yang berlaku di sana, dan insya-Allah jaminan yang kita berikan adalah memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji kita menjadi keutamaan,” katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan semua jemaah haji Malaysia supaya sentiasa menjaga disiplin dan nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci.
Katanya, jemaah haji Malaysia sentiasa menerima pujian daripada kerajaan Arab Saudi disebabkan disiplin mereka.
“Sebab itu apa sahaja keutamaan, contohnya kita ada buat permohonan rayuan haji untuk tambah kuota, jadi sekiranya ada kekosongan, keutamaan akan diberi kepada kita.
“Kerajaan Arab Saudi memberi keutamaan kepada TH, kepada jemaah haji kita, visa pertama dikeluarkan pun adalah kepada jemaah haji kita, jadi saya harap sangat jemaah haji kita berdisiplin, jaga nama baik Malaysia dari semua sudut,” katanya.






