Guna Air Secara Berhemat – Mohd Fuad

Guna Air Secara Berhemat – Mohd Fuad

0
SHARE
Fuad
Mohd Fuad ketika ditemui di PKOB Daerah Papar ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Papar )

PAPAR, SABAH – Susulan bencana kemarau, masyarakat di daerah ini dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Mohd Fuad Abdullah berkata langkah tersebut dapat memberi peluang kepada penduduk di kawasan lain untuk mendapat bekalan air bersih.

“Semalam, Jabatan Air Negeri Sabah melaporkan jumlah pengeluaran air harian masih kekal 35MLD di Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon tetapi tahap tangki p1 masih kritikal.

“Tangki p1 adalah tangki simpanan air yang berkapasiti 10MLD dan ia menyalurkan air dari LRA Kogopon kepada pengguna dan lori-lori yang mengambil air di loji ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai kejadian paip bocor jenis MSCL berukuran 1,200mm di LRA Kogopon pada Selasa lalu, Mohd Fuad memaklumkan terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang menganggap isu air di daerah tersebut telah selesai secara total.

“Hingga hari ini pun, masih ramai yang keliru dengan kejadian paip utama yang bocor pada Selasa lalu.

“Mereka menganggap dengan pulihnya kerosakan paip utama di LRA Kogopon itu, masalah air di daerah ini selesai total.

“Sebenarnya, jumlah pengeluaran air harian masih di tahap yang sama seperti sebelum kejadian paip bocor,” ujarnya kepada media ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Papar.

Menurut beliau, pihaknya amat bersyukur kerana usaha menangani bencana kemarau mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak dan berharap agar sumbangan serta bantuan tenaga serta logistik tersebut memberi manfaat kepada penduduk-penduduk yang terkesan bencana.

“Kita menerima sumbangan air minuman daripada syarikat pengeluar air minuman berbotol, Life Water Industries Sdn Bhd dengan jumlah 3,600 botol.

“Air minuman ini akan diserah kepada Pejabat Parlimen Papar untuk mereka agihkan kepada ketiga-tiga DUN iaitu Kawang, Pantai Manis dan Limbahau.

“Selain air minuman, kita juga menerima kerjasama daripada pihak swasta seperti Puncak Mas Resources/Garin Rbi20 yang menyediakan dua buah lori 10 tan dan dua lagi lori tiga tan untuk menghantar air ke kawasan-kawasan yang terkesan kemarau,” dedah beliau.

Turut menyumbang, Syarikat Asli Jati Engineering yang menyediakan sukarelawan air seramai 189 orang yang dikerah bagi membantu operasi penghantaran air di daerah ini setiap hari. — JABATAN PENERANGAN SABAH