Kedai Bakeri Didakwa Guna Berus DNA Babi, Sabah Belum Terima Laporan

Kedai Bakeri Didakwa Guna Berus DNA Babi, Sabah Belum Terima Laporan

0
SHARE
Surat
Surat permohonan sertu halal ke atas premis kedai bakeri yang didakwa menggunakan berus mempunyai DNA babi sehingga tular di laman media sosial dan menimbulkan kebimbangan dikalangan umat Islam di Sabah ( Sumber Foto: Gambar tular di laman media sosial )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan berhubung sebuah kedai bakeri yang didakwa menggunakan berus yang mempunyai DNA babi.

Walau bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas menarik semula sijil dan logo halal jika premis terbabit didapati berbuat demikian.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi MUIS Halal Hab (MHH) berkenaan perkara tersebut.

“Selepas ini saya akan mendapatkan maklumat daripada MHH tentang perkara ini. Seperti biasa, jika ia berlaku, kita akan ambil tindakan yang sepatutnya.

“Ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) kita termasuk memberhentikan premis berkenaan. Disamping itu kita juga akan memberikan kesedaran berterusan kepada masyarakat berkenaan perkara ini.

“Sebelum ini, ada berlaku kejadian ini pada tahun lepas dan kita sudah mengambil tindakan. Mereka (premis) sudah memperbaiki perkara berkenaan.

“Setelah kita memastikan ia tidak akan berlaku lagi, barulah kita akan memberi mereka peluang untuk beroperasi dengan logo kita. Namun mereka juga akan terus kita pantau dan bertegas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian BIMP – EAGA Cyber Security Summit 2023 bertempat di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Disamping itu, Mohd Arifin turut berkata kedai bakeri terbabit boleh dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya didapati menyalah gunakan logo halal di premis.

Sementara itu, satu surat berkenaan permohonan sertu halal ke atas premis kedai bakeri itu telah tular di laman media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan dikalangan umat Islam negeri ini.