Forum DaMaI Wujudkan Kesedaran Awam Konservasi Hutan Sabah

Forum DaMaI Wujudkan Kesedaran Awam Konservasi Hutan Sabah

0
SHARE
Abidin
Pengurus Kumpulan, Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar Kumpulan Yayasan Sabah, Dr Waidi Sinun (dua dari kiri) memberikan penerangan mengenai keindahan unik dan inisiatif konservasi DRL kepada Datuk Abidin (dua dari kanan) dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Yayasan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Forum Landskap Hutan Hujan DaMaI (DRL) mewujudkan kesedaran awam terutamanya kepada rakyat negeri ini mengenai DRL dan kepentingan membantu melindungi dan memulihara DRL.

Demikian kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir dalam ucapan beliau semasa merasmikan Forum Pihak Berkepentingan Lanskap Hutan Hujan DaMaI yang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), semalam.

Forum anjuran bersama Kumpulan Yayasan Sabah, Sabah Environmental Trust, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah tersebut merupakan salah satu inisiatif yang dimeterai di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 23 Ogos 2022 lepas.

“Landskap Hutan Hujan DaMaI meliputi landskap hutan seluas satu juta hektar yang terdiri daripada Rizab Hutan Kelas I (Perlindungan), Hutan Kelas II (Produksi) termasuk kawasan konservasi utama iaitu Danum, Maliau dan Imbak serta beberapa kawasan perladangan sawit seperti Benta Wawasan dan juga kawasan restorasi dan rehabilitasi hutan seperti INFAPRO dan INIKEA serta lain-lain industri.

“Kerajaan negeri berhasrat untuk mengekalkan 64 peratus daripada keluasan negeri Sabah sebagai litupan hutan. Ini meliputi kawasan seluas 3.84 juta hektar atau 52 peratus keluasan negeri sebagai kawasan yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan perlindungan lain, sejajar dengan Dasar Hutan Sabah 2018.

“Komitmen ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri Sabah untuk memperluaskan lagi Kawasan Lindungan Penuh (Totally Protected Area) kepada 30 peratus daripada kawasan daratan negeri Sabah menjelang tahun 2025.

“Setakat ini, sekurang-kurangnya 1.9 juta hektar atau 26 peratus Kawasan Lindungan Penuh telah diwartakan, manakala bakinya lebih kurang 300,000 hektar akan dikenal pasti dan diwartakan dalam masa tiga tahun ini. Komitmen dan pencapaian ini meletakkan Sabah sebagai negeri peneraju di dalam bidang konservasi hutan,” tambah beliau.

Beliau menegaskan bahawa pemuliharaan tidak boleh dicapai dengan usaha yang berasingan kerana ia memerlukan tindakan bersama dan kepakaran secara kolektif pelbagai pihak berkepentingan.

“Sejak MoU tersebut, sejumlah 644 rondaan telah dijalankan, merangkumi kawasan seluas 252,299 kilometer persegi, dan 61 tangkapan telah berjaya dibuat di kawasan DaMaI bagi membanteras jenayah hutan seperti pemburuan dan pembalakan haram.

“Kumpulan Yayasan Sabah bersama Sabah Environmental Trust, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar ini merupakan bukti keunggulan pendekatan berpasukan, bekerja bersama untuk melindungi dan melestarikan warisan alam semula jadi di Sabah.

“Inisiatif kolaboratif antara Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Sabah Environmental Trust ini bakal mencetuskan impak yang signifikan, membawa kepada kesan berkekalan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar negeri Sabah,” katanya.

Forum tersebut dihadiri oleh 200 orang peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, Badan-badan bukan kerajaan, ahli akademik, penyelidik, dan wakil-wakil dari komuniti tempatan.