90% Projek Sakit Di Sabah Merupakan Projek Kendalian Kerajaan Persekutuan

90% Projek Sakit Di Sabah Merupakan Projek Kendalian Kerajaan Persekutuan

0
SHARE
Masidi...

BEAUFORT, SABAH – Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kira-kira 90 peratus projek sakit yang dilaksanakan oleh kerajaan di Sabah merupakan projek biayaan kerajaan Persekutuan.

Katanya, berdasarkan laporan yang diterima semasa Mesyuarat Tindakan Negeri yang diadakan sebelum ini, didapati banyak projek bermasalah, bukan hanya projek perumahan tetapi juga projek lain.

“Bukan saya katakan kegagalan tapi lebih kepada masalah komunikasi antara pemaju atau agensi kerajaan Pusat dengan agensi tempatan…

“Projek-projek sakit itu termasuk projek pembinaan sekolah dan hospital,” katanya.

Justeru, bagi mengatasi masalah projek-projek sakit ini, satu jawatankuasa bersama antara kementerian dan sektor swasta atau pemaju hartanah.

Jawatankuasa itu akan bertindak sebagai medium untuk mengadakan mesyuarat sekali atau dua kali sebulan bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang berlaku.

Menurut beliau, kementerian itu perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan masalah yang berlaku semasa pelaksanaan sesuatu projek.

“Punca kepada masalah ini disebabkan kurang interaksi antara pemaju dan pembeli maka, kementerian perlu berada di tengah-tengah untuk menyelaras masalah yang timbul.

“Kalau ada jalan membantu kedua-dua pihak, masalah remeh yang berlaku pada mulanya, tidak akan menjadi masalah besar,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di Beaufort yang terbengkalai mungkin mampu diselesaikan sekiranya ada jawatankuasa menyelaras atau memantau masalah dan kekangan yang berlaku.

Bagi projek PR1MA Beaufort ini, Masidi berkata, beliau telah minta Pembantu Menterinya, Datuk Isnin Aliasnih untuk ketuai jawatankuasa khas khusus bagi membantu menyelesaikan masalah projek PR1MA yang terbengkalai tersebut.