Dua Wanita Sesak Nafas, Bilik Tidur Terbakar Di Kingfisher

Dua Wanita Sesak Nafas, Bilik Tidur Terbakar Di Kingfisher

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dua wanita dilaporkan mengalami sesak nafas dalam kejadian kebakaran bilik tidur di Taman Kingfisher Lorong Raja Udang 2 Likas, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavie Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.02 pagi. 

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal terbakar 15 peratus di ruangan bilik tidur dengan keluasan 12×6 kaki persegi.

“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

“Terdapat dua mangsa terlibat, iaitu wanita mengalami sesak nafas telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian memadam bara-bara api menggunakan satu aliran salur bantu mula sumber air dari tangki jentera.

“Setelah memastikan keadaan selamat, operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.47 pagi,” jelasnya.