LPPB Sabah Terima 50 Ribu Permohonan Rumah Mesra Rakyat

LPPB Sabah Terima 50 Ribu Permohonan Rumah Mesra Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah menerima kira-kira 50 ribu permohonan untuk mendapatkan Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Pengerusinya, Datuk Masiung Banah mengesahkan perkara itu dengan memaklumkan data terkini permohonan tersebut yang dibuka kepada orang ramai secara atas talian.

“Mengikut dalam simpanan kita secara atas talian, permohonan yang kita terima ada lebih kurang 40,000 hingga 50,000.

“Sebenarnya ini sudah juga kita panjangkan kepada kerajaan supaya ada usaha yang lebih dan kita berdoa agar kerajaan negeri mempunyai kewangan yang cukup dan ekonomi yang baik. 

“Kita mengharapkan perkara ini atas ekoran daripada keadaan politik yang semakin stabil, pelabur sudah datang, ekonomi semakin baik dan kemungkinan besar akan ada tambahan-tambahan peruntukan untuk kepentingan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Aidilfitri 2024 Pengerusi LPPB dan Borneo Cement Sabah Sdn Bhd bersama media tempatan dan nasional di sini pada Khamis.

Sementara itu katanya, bagi tahun ini, pihaknya dalam proses membina lebih kurang 175 unit RMR di beberapa kawasan di negeri ini.

“Untuk makluman kita dalam proses untuk membina beberapa perumahan seperti RMR, iaitu 50 unit di Kemabong, 50 unit di Merotai, Tawau, 25 unit di Beluran dan 50 unit di daerah kecil Sukau.

“Projek-projek ini ada yang sedang berjalan dan ada yang akan dilaksanakan,” jelasnya.