Kepulangan Pelancong China Di Sabah Semakin Tiba

Kepulangan Pelancong China Di Sabah Semakin Tiba

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – China Southern Airlines dan China Eastern Airlines dijangka akan menyambung semula operasi penerbangan terus ke Sabah seperti sebelum pandemik sejurus selepas sempadan negara itu dibuka sepenuhnya kelak.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata kedatangan pelancong asing terutama dari China penting bagi membantu merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri seperti sebelum pandemik COVID-19.

Untuk rekod, tahun 2018 Sabah menerima seramai 593,623 pelancong daripada China manakala tahun 2019, kita masih menerima seramai 598,566 orang pelancong dari negara terbabit sebelum kerajaan negeri mengenakan sekatan perjalanan berikutan penularan wabak Covid-19.

“Saya berharap ramai pelancong dari China akan kembali melawat Sabah sekaligus membantu memulihkan sektor pelancongan tempatan dan meningkatkan ekonomi negeri,” katanya…

Beliau berkata demikian dalam satu pertemuan bersama Eric Wang, Pengurus Besar, China Southern Airlines, Pengurus Besar China Eastern Airlines Lu Jing, Pengurus Besar China Air Yin Jian Min dan Gao Yashuang daripada Xiamen Airlines di Westin Hotel Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah serta kakitangan daripada Sabah Tourism Board.

“Antara reaksi positif yang diterima adalah pelancong China juga tidak sabar untuk pembukaan semula sepenuhnya sempadan antarabangsa mereka dan kembali melancong ke negeri Sabah.

“Walaubagaimanapun, pembukaan sempadan bergantung kepada situasi semasa Covid-19 di negara itu,” kata Jafry.