STAR Gesa PDRM Henti Jadikan Sabah Tempat Pembuangan Anggota Bermasalah

STAR Gesa PDRM Henti Jadikan Sabah Tempat Pembuangan Anggota Bermasalah

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan...

KUALA LUMPUR, SABAH – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menggesa supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan tindakan menggunakan Sabah sebagai tempat pembuangan pegawai polis yang bermasalah.

Katanya, rancangan memindahkan sembilan anggota polis yang disyaki memeras ugut seorang ahli perniagaan berhubung pemilikan dadah adalah tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif.

“Ini mesti diperbetulkan segera…

“Sabah sudah pun menghadapi pelbagai ancaman keselamatan, seperti lanun, penculikan dan kehadiran anggota kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan ISIS dan Abu Sayyaf.

“Namun, di sebalik semua masalah ini, polis masih menganggap ¬†meletakkan anggota polis yang bermasalah sebagai idea terbaik untuk ¬†‘melindungi’ keselamatan kami.

“Ini adalah salah dan tidak boleh diterima, walaupun ia adalah sebahagian daripada prosedur tatatertib dalam PDRM,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri ini turut mempersoalkan rasionaliti untuk membenarkan anggota polis terbabit meneruskan tugas mereka walaupun masih dalam siasatan jenayah.

Dalam pada itu beliau berkata, bukan satu rahsia lagi bahawa Sabah dijadikan ‘destinasi kegemaran’ bagi sistem keadilan negara ini untuk mengusir penjenayah berat dari negeri lain di Malaysia.

Sehubungan itu, Jeffrey menegaskan supaya berhenti menggunakan Sabah dan Sarawak sebagai tempat pembuangan masalah dari Semenanjung Malaysia…

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi dipetik berkata, sembilan anggota polis yang sebelum ini disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak Selangor mengenai pemilikan dadah baru-baru ini ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

Siasatan berkaitan kesemua anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor masih dijalankan secara terperinci dan kesemua anggota yang terlibat ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.