Joe Biden Gesa Tentera Myanmar ‘Menyerahkan Semula Kuasa’

Joe Biden Gesa Tentera Myanmar ‘Menyerahkan Semula Kuasa’

0
SHARE

YANGON, MYANMAR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menggesa tentera Myanmar ‘menyerahkan semula kuasa’ dan membebaskan pemimpin awam yang ditahan susulan rampasan kuasa pada Isnin lalu.

Pada masa sama, pentadbiran beliau menegaskan AS sedang mempertimbangkan langkah sekatan sebagai tindak balas kepada insiden berkenaan.

Memetik laporan AFP, Washington mengetuai kutukan antarabangsa terhadap rampasan kuasa terbabit yang menyaksikan sejumlah pemimpin demokratik, termasuk Aung San Suu Kyi ditahan.

Insiden itu sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa pihak tentera akan mengheret 54 juta penduduk Myanmar kembali ke bawah pemerintahan junta yang memegang kuasa selama berdekad-dekad sebelum ini.

“Tiada keraguan: dalam demokrasi, paksaan tidak harus mengatasi kehendak rakyat ataupun cuba memadamkan keputusan pilihan raya yang boleh dipercayai,” kata Biden dalam ucapan beliau yang pertama mengenai dasar luar negara bawah pentadbirannya di Washington, semalam.

Biden berkata, tentera Myanmar harus menyerahkan semula kuasa dirampas itu dan membebaskan pegawai, aktivis serta penyokong yang ditahan, selain menamatkan sekatan terhadap telekomunikasi dan mengelak daripada melakukan keganasan.

Terdahulu, Penasihat Keselamatan Kebangsaan bawah pentadbiran Biden, Jake Sullivan, berkata Rumah Putih sedang meneliti sekatan khusus dengan menyasarkan individu dan entiti dikawal tentera yang menyumbang kepada kekayaan pihak tentera terbabit.

Sullivan bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu.

Amaran AS itu menyusul selepas pihak tentera Myanmar mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet untuk mengehadkan akses terhadap Facebook, semalam.

Ia berikutan rakyat menyuarakan bantahan dalam media sosial, malah berkongsi perancangan untuk melakukan penentangan.

“Kita ada kuasa digital. Justeru, kita menggunakannya sejak hari pertama untuk melakukan bantahan terhadap junta tentera,” kata aktivis, Thinzar Shunlei Yi yang terbabit dalam usaha dipanggil ‘Gerakan Penentangan Awam’.

Dalam pada itu, aplikasi milik Facebook seperti Instagram dan WhatsApp turut mengalami gangguan.

Salah satu penyedia telekomunikasi utama di negara ini, Telenor, mengesahkan telah menerima arahan daripada pihak berkuasa untuk ‘menyekat sementara’ akses terhadap Facebook.

Facebook turut mengesahkan akses ‘sedang mengalami gangguan untuk sesetengah orang’, dan menggesa pihak berkuasa supaya mengembalikan capaian itu.