SEMPORNA: Sebuah resort musnah 95 peratus dalam kejadian kebakaran di The Buwan Dive Resort, Semporna semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzaln Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.12 tengah hari.
“Sepasukan anggota bomba dari BBP Semporna dengan bantuan BBP Air Semporna tiba di lokasi kejadian pada jam 12.16 tengah hari dengan jarak sejauh 9 kilometer (KM).
“Kebakaran melibatkan sebuah resort jenis tidak kekal berkeluasan 50×60 kaki terbakar 95 peratus.
“Bagaimanapun, ketua operasi, Ramlee Ag Ismail memaklumkan tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Katanya, bomba dalam operasi pemadaman telah menggunakan satu aliran, satu pancutan sumber air dari jentera dan satu aliran, dua pancutan pam angkut serta sumber air terbuka, iaitu air laut.
Operasi terkawal pada jam 1.25 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.19 petang.