KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh sistem penyampaian maklumat dan pengurusan krisis dengan memperkasakan peranan pegawai-pegawai politik kementerian bagi memastikan bantuan, inisiatif dan dasar kerajaan sampai kepada rakyat tanpa keciciran.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim berkata, pelaksanaan Program Kursus Khas Sabah Crisis Communication Leadership bertujuan menyelaras mesej serta memperkukuh keupayaan komunikasi pegawai politik dalam mendepani isu dan krisis yang melibatkan kepentingan rakyat.
“Hari ini Pejabat Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri telah melaksanakan kursus pengurusan strategik melibatkan pegawai-pegawai politik kementerian serta beberapa agensi kritikal. Program ini dilaksanakan bagi memperkasa peranan pegawai politik, khususnya berkaitan sistem penyampaian kerajaan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan program berkenaan di sini, hari ini.
Menurut Azrul, penyelarasan mesej dan komunikasi yang berkesan amat penting supaya maklumat mengenai program, bantuan dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara menyeluruh kepada rakyat.
“Kita mahu pasukan pegawai politik kementerian ini mempunyai satu penyelarasan dari segi mesej dan komunikasi agar rakyat dapat menikmati apa juga bantuan serta dasar kerajaan yang dilaksanakan, dan tidak ada rakyat yang tercicir daripada menerima bantuan yang telah diumumkan,” katanya.
Beliau berkata, kebelakangan ini terdapat aduan rakyat yang tidak mengetahui kewujudan bantuan kerajaan, justeru kursus berkenaan menjadi platform penting untuk menambah baik kaedah penyampaian maklumat.
“Kita melihat ada rakyat yang mengadu tidak mengetahui bantuan kerajaan. Ini masanya untuk kita memperkasakan peranan pegawai politik di samping menyelaras mesej dan komunikasi kementerian supaya isu keciciran rakyat daripada menikmati bantuan kerajaan dapat diminimumkan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Azrul turut menegaskan bahawa kursus berkenaan berfungsi sebagai medium memperkukuh kebersamaan dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pegawai politik.
“Suasana kekeluargaan ini penting supaya kita dapat bekerja sebagai satu pasukan yang baik dan cemerlang. Apa juga isu berkait rakyat dapat ditangani dengan lebih berkesan, termasuk menyumbang idea dan penyelesaian kepada kementerian yang diwakili,” jelasnya.
Mengulas modul kursus, Azrul berkata ia menumpukan kepada pengurusan komunikasi krisis dan penyampaian maklumat secara berkesan kepada rakyat.
“Kursus ini tertumpu kepada bagaimana pegawai politik berdepan dengan krisis dan bagaimana kita mengkomunikasikan krisis itu dengan baik supaya setiap isu yang timbul dapat difahami oleh rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau yakin pendekatan bersepadu ini akan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta memastikan sistem penyampaian maklumat dan penyelesaian masalah di Sabah lebih tersusun, bertanggungjawab dan berkesan.






