KUCHING, SARAWAK – Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin Sarawak akan dapat mengambil alih Pelabuhan Bintulu dan MASwings Sdn Bhd dalam tahun ini.
Katanya pengambilalihan itu adalah dua daripada tiga perkara yang sedang dirunding antara Kerajaan Sarawak dengan Putrajaya.
“Kita sedang berunding mengenai tiga perkara yang sekarang dikuasai oleh kerajaan pusat dan berkemungkinan ia akan diserah balik kepada Sarawak…
“Pertamanya adalah Pelabuhan Bintulu, kedua MASwings dan ketiga kita tunggu dulu…diharapkan ia dapat selesai dalam tahun ini,” katanya ketika ditemu-bual pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-5, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sebuah hotel terkemuka di sini pada malam Selasa.
Hadir sama Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Tan Sri Mohammad Asfia Awang Nassar dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.