Bekalan Air LRA Apas Balung 1 Dijangka Disalur Semula Esok – Nizam

Bekalan Air LRA Apas Balung 1 Dijangka Disalur Semula Esok – Nizam

0
SHARE

TAWAU: Bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Apas Balung 1 dijangka mula disalurkan semula kepada pengguna pada Sabtu, 1 Ogos, selepas kerja pembaikan disiapkan lewat petang ini dan tangki simpanan dipenuhi.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkembangan itu diperoleh selepas beliau menghubungi Jurutera Daerah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Tawau pagi tadi.

Menurutnya, beliau menghubungi pihak berkenaan bagi mendapatkan perkembangan terkini kerja pembaikan LRA Apas Balung 1 dan 2 yang mengalami kerosakan akibat banjir kilat pada 25 Julai lalu.

“LRA Apas Balung 1 dijangka siap selewat-lewatnya petang ini dan bekalan air akan dilepaskan kepada pengguna pada hari esok selepas tangki simpanan dipenuhi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu, kerja pembaikan LRA Apas Balung 2 pula dijangka siap pada Rabu, 5 Ogos, sebelum pengoperasian sepenuhnya dan pemulihan bekalan air kepada pengguna dilaksanakan secara berperingkat.

Sepanjang proses pemulihan kedua-dua loji berkenaan, catuan bekalan air akan dilaksanakan, manakala lori tangki digunakan untuk menghantar bekalan air ke kawasan yang terjejas.

Sebelum ini, Jabatan Air Sabah memaklumkan operasi LRA Apas Balung 1 dan 2 terpaksa dihentikan sementara selepas banjir menyebabkan bangunan loji serta pam air dimasuki air.

Gangguan tersebut menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Tawau, dengan proses pemulihan dijalankan secara berperingkat.

Nizam turut meminta penduduk supaya terus bersabar dan menggunakan bekalan air secara berhemat sementara kerja-kerja pemulihan diselesaikan.

Beliau pada masa sama menyeru masyarakat memberikan sokongan kepada warga JANS Tawau yang sedang bertungkus-lumus membaiki kedua-dua loji berkenaan bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan secepat mungkin.