717 Projek Naik Taraf Sekolah Daif Siap Sepenuhnya

717 Projek Naik Taraf Sekolah Daif Siap Sepenuhnya

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Sebanyak 717 daripada 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara sudah disiapkan sepenuhnya, setakat semalam.

Memetik sumber Bernama, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, baki 183 projek kini sedang dalam pembinaan, manakala 176 berada pada peringkat prabina dan 15 lagi sedang dinilai semula.

“Tempoh pembinaan bagi pelaksanaan projek ini adalah enam hingga 36 bulan, tertakluk kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPM berkata, sehingga 2024, sebanyak 1,091 projek naik taraf berkenaan diluluskan membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM8.5 bilion, dengan 339 projek dilaksanakan di Sabah, 400 di Sarawak dan 352 lagi di Semenanjung Malaysia.

Katanya, dalam usaha memperkasakan pelaksanaan projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

KPM turut menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal untuk menyelaras pelaksanaan projek pada pelbagai peringkat, serta melaporkan status projek dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia MADANI.

“KPM terus menjadikan inisiatif projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara sebagai keutamaan, bagi memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid dapat dipertingkatkan,” katanya.