KOTA KINABALU, SABAH – Naib Juara Bintang RTM 2024, Dayang Irsyadhania Iraril, 16, yang dikenali dengan panggilan mesra Dhania berhasrat dapat mencipta nama bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di pentas antarabangsa.
Remaja yang berasal dari Kampung Brunei Kimanis, Papar itu mula aktif dalam bidang nyanyian sejak berusia sembilan tahun dan menyimpan impian untuk menjadi seorang anak seni yang berjaya.
“Saya akan cuba untuk menaikkan diri saya bukan sahaja di Malaysia tapi juga untuk di luar negara.
“Untuk membanggakan negara kita sendiri dan negeri kita, jadi saya akan cuba untuk menaikkan diri saya di luar negara juga.
“Dunia nyanyian merupakan dunia saya, jadi saya tidak pernah rasa berputus asa ataupun mengalah
“Sebelum ini, saya pernah mengikuti Bintang Kecil RTM selama tiga tahun berturut-turut iaitu semasa saya berumur 9 hingga 11 tahun dan pada tahun 2018 saya mendapat tempat ketiga dan juga persembahan terbaik ketika itu saya berumur 10 tahun.
“Walaupun saya korbankan masa remaja saya, tapi saya gembira sebab saya korbankan masa untuk minat dan kehendak saya sendiri,” katanya semasa sidang media selepas sesi pelancaran lagu single pertama beliau bertajuk “Waktu Malam”.
Ketika ditanya mengenai single pertama beliau itu, Dhania berasa gembira dan teruja dengan pelancaran lagu tersebut.
Lagu yang bergenre bossanova itu dipilih sendiri oleh Dhania kerana beliau merasakan lagu itu sesuai dengan karakter dan usia beliau.
“Saya berasa gembira dengan single pertama ini dan saya berharap semua orang akan menerima lagu ini dengan sebaik-baiknya dan saya berharap semua orang akan gembira dengan lagu ini.
“Saya memilih lagu ini sebagai single pertama bagi saya lagu ini sesuai untuk usia saya dan kerana lagu ini melihatkan karakter saya jadi saya berpendapat lagu ini sesuai dengan saya,” katanya.
Mengenai akademik pula, Dhania memaklumkan dia mendapat sokongan penuh oleh guru-guru dan pihak sekolah yang memudahkan beliau membahagikan masa dengan baik di antara pelajaran dan seni.
Bagi beliau, pelajaran bukan menjadi penghalang untuk seseorang bergiat seni, selama mana bijak mengatur dan membahagikan masa.
Pelajar SMK St Joseph Papar itu memilih Anita Sarawak sebagai artis idola beliau kerana karakter artis lagenda itu yang sangat bertenaga dan penuh keyakinan ketika membuat persembahan di atas pentas. — JABATAN PENERANGAN SABAH