KUALA LUMPUR: Festival automotif dan budaya pop terbesar negara, Art of Speed 2026 (AOS 2026) bakal kembali memeriahkan Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) pada 1 dan 2 Ogos ini, sekali gus menampilkan semula Festival SoundCircus yang menghimpunkan lebih 50 pemuzik dari Malaysia dan luar negara.
Penganjuran edisi ke-15 itu akan berlangsung dari 10 pagi hingga larut malam di kompleks tertutup seluas 452,084 kaki persegi serta kawasan luar seluas 320 ekar, yang bakal dipenuhi pelbagai pameran automotif, seni, budaya pop serta aktiviti gaya hidup.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus Summer Festival 2026, Asep Ahmad Iskandar berkata, penganjuran kali ini menandakan evolusi festival dengan impak lebih besar terhadap industri kreatif serta pelancongan negara.
Menurutnya, SoundCircus yang tidak dianjurkan selama dua tahun akan kembali dengan skala lebih besar melalui enam pentas persembahan merangkumi gabungan artis dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun.
“Dengan sokongan Tourism Selangor sebagai rakan strategik, kami berhasrat mengangkat SoundCircus sebagai pengalaman muzik destinasi yang mampu menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa serta menyumbang kepada perkembangan pelancongan dan ekonomi kreatif,” katanya dalam kenyataan.
Antara konsep persembahan khas yang bakal diketengahkan termasuk “Takhta Ratu Nusantara” menampilkan gabungan legenda Cokelat dari Indonesia bersama Ella, selain kolaborasi Jemson X Def Gab C melalui konsep “Legends X Renegades”.
Festival turut menampilkan persembahan istimewa seperti “Hari Slatan”, “Dikir Kustom” oleh Issey & The Clique, serta kolaborasi generasi bapa dan anak Couple X Adnan Othman menerusi konsep “Power Pop Yeah Yeah”.
Selain itu, segmen “30 Years of Asian Hardcore” turut diperkenalkan bagi meraikan perkembangan muzik hardcore di rantau ini.
Setakat pengumuman Fasa 1 dan Fasa 2, festival berkenaan sudah menampilkan lebih 50 pemuzik, antaranya The Jansen, Masdo, Midnight Fusic, Sweetass, Nadin Amizah, Tenxi, Straight Answer, Johnny Pandora, Iqbal M dan Krusty, manakala senarai artis Fasa 3 akan diumumkan dalam masa terdekat.
Di samping persembahan muzik, AOS 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti lain seperti Show & Shine kereta dan motosikal, Hot Wheels Collectors Convention Malaysia, Project Car Invitational Showcase, ThunderCircus Brotherhood Rally, Kulture Kartel Streetwear Market, forum industri, persembahan B-boy, pameran koleksi serta pelbagai zon gaya hidup dan makanan.
Tiket masuk Art of Speed 2026 ditawarkan pada harga RM35, manakala tiket SoundCircus bermula dari RM89 hingga RM388 bergantung kepada kategori. Tiket boleh dibeli secara dalam talian dan juga di pintu masuk pada hari acara.
Penganjur menjangkakan festival dua hari itu sekali lagi menjadi tumpuan peminat automotif, muzik dan budaya pop dari seluruh negara serta rantau Asia Tenggara.






