
PUTATAN, SABAH – Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) Cawangan Kota Kinabalu akan meneruskan program kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma di negeri ini.
Presiden PPKS, Datuk Wilfred Lingham berkata inisiatif itu bertujuan menyelamatkan nyawa para pesakit yang memerlukan bantuan darah.
“Program ini sudah berjalan hampir setahun dan program yang diadakan hari ini (semalam) adalah untuk daerah Kota Kinabalu.
“Program ini adalah program yang ke-19 yang dilaksanakan di seluruh Sabah dan penutupannya akan kita adakan di Kudat pada 30hb sebagai program yang ke 20.
“Keperluan darah ini sentiasa mendesak di semua rumah sakit kerana perlu diingatkan bahawa bila kita menderma darah, darah itu merupakan satu derma keselamatan untuk kita selamatkan nyawa.
“Jadi, ia adalah penting bagi yang layak menderma darah saya galakkan untuk tampil menderma darah.
“Program ini akan kita teruskan untuk tahun depan dan proses persiapan sedang kita buat untuk mendapatkan peruntukan yang mencukupi untuk melaksanakan program ini,” katanya kepada media dalam program Kempen Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Sri Putatan, semalam.
Dalam pada itu, Wilfred dan seluruh warga PKKS merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya yang mengadakan lawatan ke program anjuran persatuan terbabit.
“Pagi ini (semalam) kita agak bertuah sedikit kerana pertama kali ada seorang menteri yang dapat bersama dengan dengan kita dan walkbout dan melihat apa yang kita laksanakan untuk pesara,” ujarnya.
Shahelmey yang selesai merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan hari Sabah peringkat Daerah Putatan, sempat meluangkan masa beramah mesra dengan para penderma darah dan petugas. — JABATAN PENERANGAN SABAH