TAWAU, SABAH – Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Negeri Sabah yang memasuki hari ke-10 meneruskan misi penjelajahan ke daerah ini bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia di kawasan pantai timur Sabah.
Konvoi KMJG 2024 yang memulakan perjalanan seawal jam 8.00 pagi melakukan persinggahan di destinasi ke-30 di Perkarangan Wisma Persekutuan Tawau.
Bangunan persekutuan tersebut merupakan destinasi persinggahan wajib Konvoi KMJG dan merupakan persinggahan ketiga bagi siri lawatan ke bangunan-bangunan pentadbiran Persekutuan di Sabah.
Pada majlis tersebut, Pengarah Penerangan Sabah yang juga Ketua Konvoi KMJG 2024 Jainisah Mohd Noor menyerahkan Jalur Gemilang kepada Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Harta, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah Michol Lin, pada Sabtu.
Sebelum ini, Konvoi KMJG 2024 telah membuat persinggahan di Bangunan Pejabat Persekutuan Daerah Beaufort serta Keningau.
Konvoi KMJG juga dijadualkan membuat hentian di Wisma Persekutuan Sandakan, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Ranau, Bangunan Persekutuan Kota Belud dan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah Kota Kinabalu. — JABATAN PENERANGAN SABAH