RANAU: Seorang pendaki wanita mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan ketika menuruni Gunung Kinabalu semalam, sebelum diselamatkan oleh pasukan Mountain Search and Rescue (MoSAR) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau.
Insiden dilaporkan berlaku di KM 3.4 laluan pendakian, sekitar jam 12.10 tengah hari, apabila Malim Gunung yang mengiringi mangsa menghubungi talian kecemasan memaklumkan kejadian.
Pasukan penyelamat seramai 6 anggota, diketuai PBB Wandy John, tiba di lokasi pada jam 12.15 tengah hari.
Mangsa, seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dengan anggaran berat 72kg, dipercayai terseliuh buku lali kaki kanan semasa turun dari gunung.
Rawatan awal diberikan di lokasi, sebelum mangsa dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan kaedah “Piggy Back Carry” berikutan ketidakmampuan untuk berjalan sendiri.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut dan dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.10 petang dengan kerjasama agensi lain termasuk PARK SAR dan KKM.






