KOTA KINABALU, SABAH – Dato Verdon Bahanda yang sebelum ini telah dilantik sebagai Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC pada 12 November lalu sah menjadi pemegang saham terbesar Sabah Football Club Sdn. Bhd.
Perkara itu diputuskan sebulat suara Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dalam mesyuarat AMT SAFA baru-baru ini.
Menurut Dato Verdon beliau kini sah memiliki 70 peratus (70%) saham Sabah FC manakala SAFA yang sebelum ini pemilik penuh hanya mempunyai 30 peratus (30%) saham dalam Sabah FC.
Katanya semua dokumen yang diperlukan telahpun ditandatangani petang kelmarin bagi mengesahkan hak pemilikan saham Sabah FC sekaligus mematuhi syarat dan peraturan penswastaan pasukan yang ditetapkan yang perlu dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum 18 Disember ini.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan amanat sekaligus menjelaskan kedudukannya di dalam Sabah FC kepada para pemain selepas selesai sesi latihan kecergasan yang diadakan di trek balapan, Stadium Likas, Kota Kinabalu pagi tadi.
Sementara itu, Verdon turut memberi jaminan bahawa kedudukannya sebagai pemegang saham terbesar Sabah FC bukan untuk “suka-suka” tetapi demi kemajuan bola sepak negeri Sabah.
“Kehadiran saya di dalam pasukan bukanlah untuk menyusahkan tetapi sebagai pemudah cara kepada semua pemain, jurulatih serta pihak pengurusan kelab…
“Kalau untuk kepentingan sendiri saya tidak akan belanjakan berjuta-juta ringgit duit saya sendiri”, “Apa yang penting, kerjasama padu dalam kalangan pemain, jurulatih dan pihak pengurusan pasukan” kata Dato Verdon.
“Saya mahu pihak pasukan jurulatih mencipta rentak sendiri iaitu cara pasukan Sabah FC bermain dan mewujudkan program jangka panjang yang bukan sahaja melibatkan pemain-pemain yang ada sekarang tetapi juga pembangunan akar umbi yang kini dibawah bidang kuasa Sabah FC,” kata Verdon.
Verdon turut bersedia menerima teguran serta terbuka kepada apa jua perbincangan sama ada melibatkan para pemain, jurulatih ataupun pihak pengurusan kelab.
“Selagi terikat dengan kontrak semua pihak perlu menghormati dan menjaga isi perjanjian kontrak tersebut ke pengetahuan pihak luar terutama sekali di media sosial…
“Saya boleh bagi jaminan tidak akan boleh berlaku penglibatan politik, sesiapa yang cuba bermain politik dalam Sabah FC mereka berpotensi untuk tinggalkan Sabah FC,” jelas Verdon.
Apa yang penting adalah keputusan dan prestasi baik dalam setiap perlawanan Liga Super musim depan sekaligus dapat menjawab segala kritikan, kecaman dan cemuhan daripada semua pihak khususnya para penyokong.