PERAK – “Kami rancang nak sambut ulang tahun kelahirannya yang ke-31 pada 2 September namun perancangan Allah SWT melebihi segalanya,” kata Maimunah Zawawi, 31, isteri kepada Mohd Sabri Zakaria, 31, yang ditemui lemas di Sungai Kuala Nor, Sungai Bayor, Selama, hari ini.
Memetik kenyataan Harian Metro, Mohd Sabri disyaki terjatuh ke dalam sungai itu ketika memancing, 6.30 petang semalam selepas penduduk kampung menjumpai peralatan memancing dan kasut mangsa di kawasan tebing sungai berkenaan.
Mayat mangsa ditemui 5.20 petang tadi oleh anggota keselamatan kira-kira 10 meter daripada lokasi barang kepunyaannya ditemui.
Menurut Maimunah, dia dan suami merancang menyambut hari lahir bersama kerana lahir pada tarikh yang hampir.
“Kami rancang nak sambut hari kelahiran sekali sebab dia lahir bulan Ogos, saya pula September.
“Kek persiapan untuk esok semua saya dah tempah, saya ada tanyakan pada arwah dia mahukan sebagai hadiah. Namun, arwah tidak mahu apa-apa, cukup sekadar kegembiraan bersama saya dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Selama, hari ini.
Suri rumah sepenuh masa yang masih terkejut dengan kejadian menimpa suaminya buntu memikirkan nasib dua anak berusia 4 tahun dan satu tahun.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama, Mohd Fauzi Razali berkata, pihaknya memulakan pencarian di permukaan sungai pada 7.15 malam semalam sejurus sahaja dimaklumkan berhubung kejadian.
Katanya, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selama, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pekerja Majlis Daerah Selama.
“Kami turut meminta bantuan daripada pasukan penyelamatan dari BBP Kuala Kangsar dan unit anjing pengesan K9.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama Deputi Superintendan Loo Lian Lay ketika dihubungi mengesahkan kejadian.