KOTA KINABALU – “Dari pagi sampai malam saya tunggu kat sini bagi sokongan. Saya sangat bersyukur sebab saya tahu dia (suami) memang bersungguh-sungguh nak menang kejohanan ini.”
Begitulah kata Najihah Ab Rahman, 25, isteri kepada Hafizuddin Abdul Puhat, 25, yang membawa pulang wang tunai RM7,000 selepas menjuarai kejohanan Borneo e-Arena kategori FIFA 17 di Centre Point, Kota Kinabalu, kelmarin.
Najihah berkata, dia tidak kisah suaminya menyertai pertandingan ‘game’ kerana faham hobi itu mendatangkan pulangan yang lumayan.
“Ketika kami mula kenal pada 2008, saya tak tahu pun dia suka main ‘game’. Tetapi, selepas lama menemaninya ke pertandingan ‘game’, baru saya faham hobi ini sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
“Kami berkahwin pada 2016 dan saya sebagai isteri sememangnya menyokong apa saja dia buat asalkan positif dan berfaedah,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini.
Menurut Najihah, suaminya tidak begitu obses pada permainan FIFA itu sebaliknya menetapkan masa untuk sesi latihan.
“Dia tak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai suami. Selepas balik kerja, memang dia akan uruskan apa yang patut sebelum mula berlatih.
“Lagipun tak lama, hanya satu hingga dua jam setiap hari. Kadang-kadang dia terlalu sibuk dan akan berlatih lima kali seminggu,” katanya.
Najihah berkata, meskipun ada yang berpendapat ‘game’ itu membuang masa dan sebagainya, namun dia menganggap perkara itu sebaliknya.
“Ia hanya membuang masa kalau terlalu obses. Tapi saya faham suami ada keinginan untuk jadikan ia kerjaya sampingan yang tak mengganggu jadual hariannya.
“Asalkan ia boleh beri pulangan, apa salahnya. Lagipun dia bukan membuang masa main suka-suka tanpa peroleh apa-apa,” katanya yang menyambung pengajian sepenuh masa dalam bidang perakaunan.
Sementara itu, Hafizuddin yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kelihatan gembira dengan pencapaiannya.
“Saya bersyukur kerana isteri, kawan-kawan dan keluarga tak henti-henti beri sokongan. Terima kasih kepada isteri terutamanya kerana menjadi tulang belakang saya dalam karier ini,” katanya yang bekerja dalam sektor kerajaan.
Hafizuddin berkata, dia bersyukur kerana industri e-sukan semakin diterima dan ia ibarat satu peluang cerah kepada anak muda sepertinya.
Katanya, jika berpeluang untuk menjadikan ia kerjaya sepenuh masa, dia akan mengambil peluang itu namun meletakkan sepenuh fokus kepada isteri dan keluarga terlebih dulu.
Borneo e-Arena dianjurkan oleh Puncak Niaga Maju (PNM) Ideas dengan kerjasama Gamesbond dan menyediakan wang tunai terkumpul RM100,000 sebagai rebutan.
Lima permainan video dipertandingkan iaitu Counter Strike: Global Offensive, Dota 2, Mobile Legends, FIFA 17 dan Tekken 7.
Acara ini turut disokong kerajaan negeri Sabah dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.