Lebih 200 Organisasi Sokong #RasuahBusters Demi Hapuskan Budaya Rasuah

Lebih 200 Organisasi Sokong #RasuahBusters Demi Hapuskan Budaya Rasuah

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Lebih 200 organisasi telah bekerjasama menyokong gerakan #RasuahBusters sejak dilancarkan Januari lepas yang bertujuan membentuk transformasi dan integriti negara untuk menghapuskan semua bentuk gejala rasuah.

Menerusi kenyataan yang dipetik Bernama hari ini, gerakan itu memaklumkan mereka telah mengadakan pertemuan secara berkala bagi membincangkan strategi dalam memperkemaskan usaha pembanterasan rasuah, di samping meningkatkan kesedaran tentang struktur pemerintahan melalui tadbir urus yang baik dan nilai integriti rakyat Malaysia.

Kenyataan itu turut memetik Ketua Pasukan Teras #RasuahBusters Datuk Hussamuddin Yaacub sebagai berkata pemulihan gejala rasuah perlu dijalankan secara holistik dengan mengambil kira pandangan setiap rakan gabungan yang cukup berkepakaran dalam segmen kumpulan sasar masing-masing.

“Saya berasa bersemangat dan begitu terdorong dengan sokongan besar-besaran daripada setiap spektrum masyarakat, termasuk kalangan anak muda yang begitu
komited untuk menerapkan integriti ke dalam sistem kepercayaan mereka…

“Walaupun perjalanan #RasuahBusters baharu saja bermula, saya berdoa agar sebarang perilaku rasuah tidak boleh lagi disembunyikan oleh sesiapa pun,” katanya.

Menurut kenyataan itu kerjasama #RasuahBusters dengan lebih 200 organisasi ini bersatu di bawah kesepakatan membawa panji-panji ‘Malaysia Tanpa Rasuah’ demi menyelamatkan negara daripada pandemik moral dan keruntuhan akhlak akibat rasuah yang berupaya melumpuhkan negara dan perlu ditangani dengan
segera.

Selain menjalankan misi membanteras rasuah bersama pelbagai organisasi, #RasuahBusters turut mengaktifkan enam kempen seumpamanya iaitu #RakyatBenciRasuah, #BeliaBenciRasuah, #PendakwahBenciRasuah, #KerajaanTanpaRasuah, #BisnesTanpaRasuahdan #PilihanrayaTanpaRasuah.