UMNO–WARISAN: Percaturan Menjatuhkan Hajiji Gagal, Kini Bertarung Sesama Sendiri
(Analisa politik santai oleh Datuk Zulkarnain Mahdar)
1. Hakikat politik Sabah hari ini tidak dapat diselindungkan oleh sebarang penafian. Hubungan antara Parti Warisan dan UMNO sebelum ini jelas terbina atas satu kepentingan bersama dan usaha menjatuhkan kepimpinan Hajiji Noor serta menggugat kestabilan kerajaan negeri.
Percaturan ini dizahirkan secara terbuka melalui episod yang dikenali sebagai “Langkah Kinabalu” pada Januari 2023.
2. Namun, percubaan tersebut gagal sepenuhnya. Usaha menjatuhkan kerajaan negeri tidak mendapat sokongan majoriti wakil rakyat, apatah lagi mandat rakyat Sabah. Sebaliknya, Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri Sabah, sekali gus membuktikan bahawa politik pintu belakang dan percaturan kuasa tidak mendapat tempat dalam landskap politik negeri ini.
3. Kegagalan itu bukan bersifat sementara. Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) mengukuhkan lagi penolakan rakyat terhadap percaturan tersebut. UMNO–Barisan Nasional yang bertanding di 47 kerusi hanya memenangi enam kerusi, manakala Warisan yang bertanding di 73 kerusi pula memperoleh 25 kerusi.

Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mesej jelas bahawa rakyat Sabah menolak cubaan berulang untuk menumbangkan kerajaan tanpa mandat.
4. Sebaliknya, ketika pihak lawan sibuk menyusun pelan kejatuhan politik, pentadbiran negeri di bawah pimpinan Hajiji Noor membuktikan keupayaan sebenar mentadbir. Dalam tempoh kurang lima tahun, rizab kewangan Sabah yang berada sekitar RM2.9 bilion pada era Warisan telah meningkat kepada kira-kira RM8.6 bilion di bawah pentadbiran semasa.

Pencapaian ini mencerminkan pengurusan fiskal yang lebih berdisiplin, terancang dan berhemah, sekali gus menafikan naratif kegagalan yang sering dimainkan.
5. Prestasi ekonomi negeri turut diperkukuh melalui keyakinan pelabur. Bagi tempoh 2021 hingga 2024, jumlah pelaburan asing di Sabah mencecah RM14.77 bilion, manakala pelaburan domestik pula berjumlah RM20.61 bilion.
Angka-angka ini bukan sekadar statistik ekonomi, tetapi bukti jelas bahawa kestabilan politik dan hala tuju pentadbiran kerajaan negeri berjaya meyakinkan pelabur tempatan serta antarabangsa untuk terus menanam modal di Sabah.
Realitinya, pelabur tidak akan melabur dalam negeri yang tidak stabil atau gagal ditadbir.
6. Namun kejayaan ini tidak menghalang serangan politik. Pelbagai kaedah politik kotor turut digunakan, termasuk dakwaan tuduhan rasuah melibatkan individu tertentu seperti Albert Tei, selain serangan berterusan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Malah, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pernah diejek dan dilabel sebagai antara “kerajaan paling gagal di dunia”. Hakikatnya, segala tohmahan dan serangan tersebut gagal menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan Sabah, malah semakin menonjolkan ketempangan naratif pihak lawan.
7. Situasi ini selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka merancang, Allah juga merancang; sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang” (Surah Ali ‘Imran: 54). Percaturan politik yang disusun akhirnya berpatah balik kepada pihak yang merancangnya sendiri.
8. Ironinya, selepas gagal menjatuhkan kerajaan dan gagal memperoleh mandat rakyat, Warisan dan UMNO kini bertembung sesama sendiri dalam PRK DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan.

Pertembungan ini mendedahkan hakikat sebenar hubungan mereka – bukan berasaskan prinsip perjuangan, tetapi kepentingan kuasa yang berubah mengikut keadaan politik semasa.
9. Dalam keadaan ini, GRS muncul sebagai pemenang senyap. Walaupun tidak bertanding, GRS kekal dominan dari segi kestabilan pentadbiran dan legitimasi politik. Mesej rakyat Sabah semakin jelas iaitu mereka menolak politik kudeta, pengkhianatan dan percaturan sempit, sebaliknya memilih kestabilan serta kepimpinan yang berasaskan mandat rakyat.
10. Ke hadapan, walaupun jalan menyelesaikan isu asas rakyat seperti jalan raya, bekalan air dan tenaga penuh cabaran, tiga tahun mendatang menjadi fasa penentu. Lebuh Raya Pan Borneo dijangka menghubungkan laluan utama secara lebih menyeluruh, loji rawatan air baharu akan mula beroperasi, dan kapasiti bekalan elektrik turut dipertingkatkan dan langkah-langkah yang bakal mengurangkan beban rakyat serta mengukuhkan asas pembangunan ekonomi negeri.
11. Kesimpulannya, kegagalan berulang UMNO dan Warisan bukan sekadar kegagalan strategi politik, tetapi penolakan jelas rakyat Sabah terhadap politik percaturan kuasa.
Dalam konteks ini, kestabilan kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji Noor dan GRS bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada mandat rakyat yang semakin matang dalam menilai siapa yang benar-benar mentadbir dan siapa yang sekadar bermain politik.
Ditulis Oleh:
Datuk Zulkarnain Mahdar,
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) & Pemerhati Politik Tempatan






