Internet Lemah Jejas 736 Sekolah Sabah, Kerajaan Nilai Semula Syarikat YTL

Internet Lemah Jejas 736 Sekolah Sabah, Kerajaan Nilai Semula Syarikat YTL

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan menilai semula prestasi syarikat YTL susulan kelewatan pelaksanaan projek penyediaan perkhidmatan internet di sekolah-sekolah, yang menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di 736 buah sekolah.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, memaklumkan pihaknya menerima banyak aduan daripada sekolah dan ibu bapa berkaitan kualiti capaian internet, termasuk lebat jalur yang tidak mencapai tahap dijanjikan serta respons yang lambat terhadap aduan.

“Antara isu dikenal pasti ialah kelewatan pemasangan infrastruktur fiber Point-of-Presence (PoP), PoP yang disenaraikan siap tetapi belum boleh digunakan, serta sebahagian sekolah yang masih bergantung kepada menara 1BestariNet dengan kualiti capaian yang rendah dan tidak konsisten,” katanya.

Menurutnya, akses internet yang stabil merupakan keperluan asas bagi menyokong pembelajaran digital dan pengurusan sekolah yang lebih cekap, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan menilai pematuhan garis masa, kualiti perkhidmatan serta kecekapan pengurusan dan respons pihak YTL.

“Jika terdapat bukti kelewatan atau kegagalan pelaksanaan, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menamatkan lantikan tersebut demi kepentingan murid dan guru,” tegas beliau.