TONGOD: Seorang wanita warga emas mengalami kecederaan melecur selepas dua buah rumah dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Kampung Bolot, Tongod, petang Rabu.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 62 tahun melecur di bahagian lengan dan menerima rawatan awal daripada petugas perubatan sebelum dihantar untuk rawatan lanjut.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.12 tengah hari.
Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Kuayup digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 156 kilometer.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua rumah tidak kekal, sebuah kedai runcit, sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah motosikal serta dua unit enjin bot, dengan kesemuanya musnah terbakar.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 600 kaki dengan satu pancutan air dari pili bomba berhampiran dan api berjaya dikawal pada jam 2.31 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.31 petang,” kata seorang pegawai jurucakap agensi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun kebakaran itu menyebabkan mangsa kehilangan tempat tinggal serta sumber pendapatan berikutan kedai runcit miliknya turut musnah.






