KOTA KINABALU: Suria Capital Holdings Berhad pada Selasa, mengumumkan pelantikan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai Pengerusi baharu syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.
Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital, Datuk Ahmad Rizal Dahli, berkata pengalaman Abdul Rahman dalam perancangan ekonomi dan pembangunan industri merupakan nilai tambah kepada syarikat itu.
“Pengalaman beliau di peringkat tertinggi perancangan ekonomi serta penglibatan dalam pembangunan berkaitan minyak dan gas amat bertepatan dengan peranan Suria Capital dalam menyokong pertumbuhan industri, perdagangan berasaskan pelabuhan dan aktiviti logistik,” katanya.
Beliau berkata kepimpinan Rahman akan membantu syarikat memperkukuh agenda strategik dan kedudukan jangka panjang dalam sektor pelabuhan dan logistik di Sabah.
Sementara itu, Rahman berkata beliau berbesar hati menerima pelantikan tersebut dan bersedia bekerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah serta pihak pengurusan.
“Suria Capital dan kumpulan anak syarikatnya memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan dan aktiviti industri di Sabah serta rantau ini.
“Saya menantikan kerjasama dengan pihak Lembaga dan pengurusan bagi memperkukuh hala tuju jangka panjang syarikat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kesalinghubungan serta menyokong pengembangan industri sebagai antara keutamaan dalam peranan baharunya itu.
Dalam pada itu, Suria Capital merakamkan penghargaan kepada Pengerusi terdahulu, Datuk Hj Faisyal Datuk Yusof Hamdain Diego, atas sumbangan beliau sepanjang tempoh 10 tahun menerajui syarikat.






