Sabah, Darul Ifta Mesir Jalin Kerjasama Kefatwaan

Sabah, Darul Ifta Mesir Jalin Kerjasama Kefatwaan

0
SHARE

KAHERAH: Kerajaan Sabah mencatat sejarah apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam hal ehwal kefatwaan dan pembangunan ilmu bersama Darul Ifta Mesir, sebuah institusi kefatwaan berwibawa yang menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.

Perjanjian kerjasama melibatkan bidang kepakaran, latihan kefatwaan dan pembangunan keilmuan itu ditandatangani oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Datuk Mohd Arif, bersama Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir, Prof Dr Nazir Mohamed Ayyad, di Pejabat Darul Ifta, di sini.

Arifin ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada pihak Darul Ifta khususnya Mufti Mesir kerana merealisasikan visi dan misi pembangunan syiar ilmu serta kepakaran Islam berlandaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang telah dirancang sejak beberapa tahun lalu.

“Sebelum ini saya telah mengadakan kunjungan dan memohon kerjasama daripada pihak Mufti Mesir, dan alhamdulillah pelbagai usaha susulan telah dilaksanakan melalui MUIS, JHEAINS, Pejabat Mufti Sabah, Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah serta pegawai Yayasan Sabah di Kaherah. Akhirnya usaha ini membuahkan hasil dengan termeterainya MoU pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Prof Dr Nazir Mohamed Ayyad berharap kerjasama tersebut dapat menjadi platform untuk memperkukuh hubungan mahabah dan ukhuwah Islamiah, sekali gus memperkasakan bidang syariah, dakwah, penyelidikan serta keilmuan Islam melalui perkongsian kepakaran para ilmuwan Darul Ifta Mesir.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Husin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hanafiah Kassim; Timbalan Duta Besar Malaysia ke Kaherah; serta Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Japar.