KOTA KINABALU: ConocoPhillips Malaysia menyumbang RM1.26 juta kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) bagi pembelian peralatan perubatan penting serta naik taraf kemudahan hospital untuk meningkatkan kualiti rawatan ibu dan kanak-kanak di negeri ini.
Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn, berkata sumbangan itu bertujuan menggantikan aset perubatan lama dan menambah baik persekitaran hospital demi keselesaan serta keselamatan pesakit.
“Ini adalah sumbangan kami untuk mengukuhkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti, dan kami menghargai usaha HWKKS serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam memberikan rawatan terbaik kepada keluarga di Sabah,” katanya.
HWKKS merupakan pusat rujukan utama negeri bagi perkhidmatan obstetrik, ginekologi dan pediatrik, mengendalikan ribuan kes kanak-kanak serta lebih 10,000 kelahiran setiap tahun, selain menempatkan satu-satunya Pusat Perubatan Nuklear dan Radioterapi di Malaysia Timur.
Menurut ConocoPhillips, sumbangan itu sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat terhadap pembangunan komuniti di Sabah sejak mengambil alih operasi pelantar gas Kebabangan pada 2025, dengan fokus kepada sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan mampan.






