KOTA KINABALU: JPJ Sabah melaksanakan Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di laluan Jalan Pan Borneo Papar–Bukit Manggis–Benoni susulan aduan orang awam mengenai lori berat yang membahayakan keselamatan.
Operasi berlangsung dari 20 hingga 23 Januari 2026 dan akan diteruskan secara bersasar.
Sebanyak 627 kenderaan diperiksa, dengan 59 diambil tindakan, 88 notis saman dikeluarkan, dua kenderaan disita dan kompaun berjumlah RM12,150 dikenakan.
Satu kes lebih muatan dibawa ke mahkamah.
Kesalahan utama melibatkan lebih muatan, muatan berbahaya, lesen dan insurans tamat tempoh, tiada lesen vokasional (GDL) serta sijil pemeriksaan berkala tamat tempoh.
“JPJ Sabah menegaskan tiada kompromi terhadap pemandu dan pengusaha yang mengabaikan keselamatan demi keuntungan, dan tindakan tegas termasuk pendakwaan akan diteruskan,” kata agensi tersebut dalam sebuah kenyataan.






