Dua Lelaki Ditahan, Polis Rampas 5.81 Gram Syabu Dalam Op Tapis di...

Dua Lelaki Ditahan, Polis Rampas 5.81 Gram Syabu Dalam Op Tapis di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah jenis syabu seberat keseluruhan 5.81 gram dalam dua tangkapan berasingan semasa pelaksanaan Op Tapis di sekitar Jalan Reno Fajar, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 2.50 petang membabitkan seorang lelaki berusia 48 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek mendapati dia memiliki 0.43 gram dadah disyaki syabu. Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, dalam tangkapan kedua kira-kira jam 3.20 petang di lokasi sama, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 37 tahun dan menemui 5.38 gram dadah disyaki syabu bersama bahan pembungkusan.

“Suspek kedua turut didapati positif dadah hasil ujian saringan awal dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

ACP Dzulbaharin berkata, kedua-dua suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia Daerah Lahad Datu akan terus mempergiatkan operasi dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan pengedaran serta penyalahgunaan dadah demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.