KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa parti itu belum mengumumkan atau mengesahkan mana-mana individu sebagai calon untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang setakat ini.
Setiausaha Agung PBS, YB Datuk Julita Majungki dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebarang dakwaan kononnya PBS telah menamakan atau menyokong individu tertentu sebagai calon adalah tidak benar dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.
“Proses mengenal pasti dan memuktamadkan calon-calon masih berjalan dan akan diputuskan secara bersama oleh pimpinan tertinggi PBS. Hanya kenyataan rasmi yang dikeluarkan melalui saluran parti dan dipetik terus daripada Pemangku Presiden, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, boleh dianggap sah. Mana-mana kenyataan yang tidak mengikut saluran ini adalah tidak sah dan mengelirukan,” katanya.
PBS turut menggesa semua bahagian dan cawangan parti agar terus memperkukuh jentera serta membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Beliau turut menyeru pihak media dan orang awam agar merujuk kepada sumber rasmi PBS bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat palsu.
Dalam pada itu, Datuk Julita turut menyatakan bahawa PBS sependapat dengan kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, bahawa GRS akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN akan datang.
“Kerjasama ini dibuat atas dasar bahawa GRS akan kekal sebagai rakan dominan, seperti yang telah dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat antara Pengerusi GRS dengan presiden-presiden parti komponen, termasuk Pemangku Presiden PBS,” ujarnya.
Mengulas ketidakhadiran Pemangku Presiden PBS dalam Mesyuarat Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) baru-baru ini, Datuk Julita menjelaskan bahawa beliau ketika itu berada di Beaufort untuk merasmikan pembukaan serentak lima mesyuarat agung tahunan bahagian PBS.
“PBS tetap diwakili oleh pimpinan kanan parti iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim dan Datuk Seri Panglima Dr Yee Moh Chai serta saya sendiri,” katanya.






