
KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 100 sukarelawan daripada 56 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara menyertai program Ini Warisan Kita:Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2024.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasamy berkata, para sukarelawan akan dihantar ke enam daerah berasingan iaitu Penampang, Kudat, Kota Belud, Beaufort, Papar dan Kota Kinabalu.
“Para pelajar akan melaksanakan beberapa projek utama seperti membaik pulih Kompeni A Batalion 2, infrastruktur sekolah dan masjid di lokasi-lokasi yang terlibat selain projek sukarelawan berdasarkan enam teras Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
“Misi telah bermula pada 1 hingga 18 September 2024 dan sukarelawan siswa akan ditempatkan bersama komuniti selama 10 hari di lapangan.
“Ini sekaligus memberi mereka peluang untuk meningkatkan pemahaman serta menghayati keistimewaan Negeri di Bawah Bayu melalui pembelajaran berasaskan pengalaman,” katanya ketika berucap di Majlis Flag Off Ini Warisan Kita:Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2024 di sini, pada Selasa.
Majlis pelepasan misi tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Saraswathy turut berkata sehingga 2023, YSS berjaya membawa tujuh misi sukarelawan di Sabah melibatkan 36 lokasi dan 1,054 projek.
“Dalam tempoh tersebut, YSS telah melatih 608 orang sukarelawan menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman di mana sukarelawan hidup, tidur dan makan bersama komuniti tempatan.
“Misi sukarelawan ini adalah satu platform penting tapak integrasi nasional individu dari latar belakang yang berbeza untuk bersatu demi matlamat yang lebih besar selain menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kesukarelawan,” jelasnya.
Enam pilar kesukarelawanan yang menjadi fokus misi ini merangkumi perpaduan dan pemerkasaan komuniti, penambahbaikan pendidikan dan pembangunan kapasiti, kelestarian alam sekitar, program kesihatan, transformasi digital serta mobilisasi impak sosial.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam dan Pengerusi YSS, Tan Sri Alimuddin Md Dom. — JABATAN PENERANGAN SABAH