Kerajaan Beri Jaminan Harga Barang Tidak Alami Kenaikan Melampau Sehingga Hujung Tahun...

Kerajaan Beri Jaminan Harga Barang Tidak Alami Kenaikan Melampau Sehingga Hujung Tahun Ini

0
SHARE
Salahuddin
Salahuddin ketika melakukan tinjauan di pasar raya Econsave Setapak Central ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook KPDN )

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan melampau harga barang sehingga hujung tahun ini.

Memetik sumber Berita Harian, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jaminan itu dibuat berdasarkan libat urus yang diadakan kementeriannya bersama pemain industri.

Menurutnya, jika ada ‘permintaan’ untuk menaikkan harga barang, perkara itu akan dibawa ke ‘meja rundingan’ terlebih dahulu untuk dibincangkan.

“Berdasarkan libat urus, kita sudah panggil 30 industri di kementerian minggu lepas, mereka semacam memberikan kata sepakat tidak mungkin berlaku kenaikan (harga) yang melampau.

“Kalau ada pun, kita akan runding kembali untuk kita lihat harga-harga tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melakukan tinjauan di pasar raya Econsave Setapak Central, di sini, hari ini.

Mengulas program turun padang yang dilakukannya, Salahuddin berkata, ia adalah lawatan rutin untuk meninjau sendiri situasi sebenar di pasar raya, kedai runcit dan premis berkaitan di seluruh negara.

Menurutnya, ia selepas timbul dakwaan mengatakan harga barang keperluan rakyat akan naik mendadak, baru-baru ini.

“Untuk kami lebih bertanggungjawab, maka Kerajaan Madani pergi sendiri (turun padang). Bukan kerana tuduhan itu, memang tanggungjawab KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) setiap hari, kita pantau kawalan harga barangan asas rakyat.

“Maka dengan ini, saya menyatakan bahawa tinjauan KPDN mendapati pertama sekali barang-barang bersubsidi yang kerajaan bagi, (harga) tidak pernah naik dan tidak mungkin naik buat masa ini,” katanya.

Mengenai dakwaan harga barang dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober ini, Salahuddin berkata, tidak ada kerajaan di dunia ini berupaya mengawal semua harga barang.

Katanya, kerajaan adalah bertanggungjawab untuk mengawal harga barang asas rakyat.

“Itu saya rasa kalau ada yang meramalkan berlaku kenaikan (harga pada) Ogos hingga September, itu masih belum berlaku.” katanya.