Kerajaan Komited Trasformasi Budaya Baca Al-Quran Melalui MTHQ

Kerajaan Komited Trasformasi Budaya Baca Al-Quran Melalui MTHQ

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Arifin (dua dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Kerajaan negeri komited mentransformasi budaya membaca Al-Quran melalui Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) dalam kalangan masyarakat Islam.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk IShahelmey Yahya berkata, ungkapan ‘Iqra’ (Bacalah) yang dianologikan sebagai membaca jambatan ilmu amat signifikan dalam kalangan umat Islam pada hari ini.

“Usaha kerajaan dalam membawa budaya membaca Al-Quran secara intensif bermatlamat untuk menyedia dan memperkasakan generasi muda dengan minda positif.

Kita perlu melahirkan generasi yang mantap ilmunya dalam pelbagai bidang agar dapat mengimbangi tuntutan duniawi dan ukhrawi,” katanya ketika merasmikan Majlis Meraikan Peserta dan Para Petugas MTHQ Peringkat Negeri Sabah disini pada malam Isnin.

Katanya, Al-Quran merupakan naskah utama umat Islam yang di dalamnya mengandungi petunjuk dalam mendepani cabaran dalam kehidupan.

“Ia merupakan wahyu yang lengkap yang diturunkan kepada baginda Rasulullah SAW sebagai panduan kepada umat manusia.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama mengimarahkan amalan membaca, memahami dan mempraktikkan kandungan Al-Quran dan jadikan ia sebagai budaya hidup di kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

“Seiring dengan peredaran semasa kaedah pengajaran dan pembelajaran Al-Quran kini lebih cepat dan mudah.

“Al-Quran dan terjemahannya kini tersedia dalam bentuk digital dan ia amat memudahkan.

“Perkembangan ini amat baik bagi memudahkan masyarakat Islam dalam mempelajari ilmu Al-Quran,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan turut menyeru kepada seluruh muslimin yang berada di daerah Putatan dan daerah sekitarnya untuk sama-sama mengimarahkan penganjuran program tersebut yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 ini di Dewan Sri Putatan.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk MTHQ Peringkat Negeri 2024 Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datu Ruslan Muharam, ADUN Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Pegawai Daerah Putatan Masawi Salleh Mufti Kerajaan Negeri Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Jumain Abdul Ghani. — JABATAN PENERANGAN SABAH