Sumbangan Besar Buat Negara Ketika Pandemik, PM Sifatkan Wartawan ‘Wira Tidak Didendang’

Sumbangan Besar Buat Negara Ketika Pandemik, PM Sifatkan Wartawan ‘Wira Tidak Didendang’

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan wartawan adalah ‘wira tidak didendang’ dengan menyedia dan menyalurkan maklumat berkaitan pandemik kepada masyarakat.

“Wartawan sanggup mengharungi bahaya termasuk merisikokan diri berdepan wabak berkenaan demi melaksanakan tugas…

“Semuanya itu dilakukan wartawan bagi memastikan rakyat yang terkurung di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat maklumat dan mampu mengikuti perkembangan semasa tanah air serta luar negara.

“Tanpa wartawan, mustahil berita dan maklumat penting dapat disebar luas dengan cepat serta pantas termasuk sidang media COVID-19 yang dilaksanakan hampir setiap hari,” katanya berucap pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2021, di sini malam tadi.

Tambah beliau, media dan wartawan di negara ini turut memainkan peranan bagi menjayakan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan kerajaan.

“Kewartawanan tradisional yang melalui proses pengesahan, penyuntingan yang ketat atau ‘vigorous’ pastinya menghasilkan berita yang benar atau sahih dan sekali gus membolehkan rakyat memahami konsep sebenar Keluarga Malaysia atau dasar kerajaan yang lain…

“Justeru, saya percaya rakyat masih menaruh keyakinan pada kredibiliti wartawan dalam situasi seperti itu. ‘The good old journalism matters’.

“Ini kerana sesetengah blog tidak lebih daripada berita yang niatnya untuk mensensasikan maklumat yang tidak tepat.

Media yang menyajikan berita-berita yang profesional, adil, sahih, menarik dan terkini akan berjaya,” jelas beliau.

Justeru, Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat wartawan atas sumbangan besar kepada negara ini yang mana sebahagian daripada petugas barisan hadapan ketika pandemik ini.