Laluan Alternatif Ditambah, Atasi Kesesakan Trafik di Ranau dan Kundasang – Joachim

Laluan Alternatif Ditambah, Atasi Kesesakan Trafik di Ranau dan Kundasang – Joachim

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempergiat pembinaan laluan alternatif serta menaik taraf rangkaian jalan raya di Ranau dan Kundasang sebagai langkah utama mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin ketara, khususnya pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan musim perayaan.

Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, pelbagai inisiatif jangka pendek dan jangka panjang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti jalan serta melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, antara projek yang sedang dilaksanakan ialah penaiktarafan Jalan Kampung Mohimboyon–Lipantai–Pahu sepanjang enam kilometer yang kini mencapai kemajuan fizikal 69.69 peratus dan dijangka siap pada 2027.

Setelah siap kelak, projek ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan pengguna kepada laluan utama, sekali gus membantu mengagihkan aliran trafik serta mengurangkan kesesakan lalu lintas antara Pekan Kundasang dan Pekan Ranau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Haji Rusdin @ Musidi Riman (Paginatan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, pada Khamis.

Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan penaiktarafan Jalan Tambiau–Sarapong sepanjang 4.05 kilometer yang dijangka siap pada 2028 bagi menyediakan satu lagi laluan alternatif ke Pekan Ranau serta meningkatkan keupayaan rangkaian jalan raya di kawasan itu.

Selain itu, sebanyak 10 cadangan pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki di beberapa lokasi strategik turut dikemukakan bagi memperbaiki aliran trafik, mengurangkan kesesakan serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

Bagi penyelesaian jangka panjang, Joachim berkata kerajaan meluluskan beberapa projek strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), termasuk pembinaan Jalan Ranau Bypass dari Bundu Tuhan ke Kilimu sepanjang kira-kira 30 kilometer yang akan menyediakan laluan alternatif terus ke Jalan Ranau-Sandakan tanpa melalui Pekan Kundasang dan Pekan Ranau.

Beliau berkata, sebuah lagi projek ialah penaiktarafan Jalan Kampung Mesilau–Kampung Lipasu sepanjang lapan kilometer yang akan melengkapkan rangkaian laluan alternatif, sekali gus mengurangkan kesesakan dan memendekkan masa perjalanan pengguna.

“Kerajaan sememangnya komited untuk menangani isu kesesakan lalu lintas di Pekan Ranau dan Pekan Kundasang melalui pelaksanaan langkah jangka pendek dan jangka panjang.

“Projek-projek yang sedang berjalan serta projek strategik di bawah RMKe-13 akan melengkapkan rangkaian jalan raya, menyediakan lebih banyak laluan alternatif, meningkatkan kapasiti jalan, mengurangkan kesesakan, memendekkan masa perjalanan serta meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.