Hujan Lebat Tidak Halang Rakyat Sambut Agong, Raja Permaisuri

Hujan Lebat Tidak Halang Rakyat Sambut Agong, Raja Permaisuri

0
SHARE
Ydpa
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kiri) tiba di Pentas Budaya Pekan Kundasang ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

RANAU, SABAH –  Hujan lebat tidak menghalang masyarakat menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seramai lebih 1,700 penduduk sekitar daerah Ranau dan Kundasang menanti ketibaan rombongan konvoi Kembara Kenali Borneo di Pentas Budaya sempena Majlis Santapan Bersama Rakyat, pada Selasa.

Ketibaan Seri Paduka Baginda berdua yang ditemani anakanda-anakanda disambut oleh Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 100 golongan asnaf dan orang kurang upaya (OKU) dari sekitar daerah Ranau.

Dalam majlis tersebut, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempat meluangkan masa menari tarian Sumirid daripada suku kaum Dusun Liwan Ranau bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya, Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir. — JABATAN PENERANGAN SABAH