SEDCO, KKIP Perkukuh Kerjasama Pacu Pertumbuhan Industri Sabah

SEDCO, KKIP Perkukuh Kerjasama Pacu Pertumbuhan Industri Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) mengadakan lawatan pembelajaran korporat strategik ke Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) bagi memperkukuh kerjasama serta mempercepat pembangunan industri dan ekonomi negeri.

Delegasi SEDCO diketuai Pengurus Besar Kumpulan Datuk Ar. James Wong Kein Peng, manakala KKIP diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Cecilia Amid, bersama barisan pengurusan masing-masing.

Lawatan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi untuk mempererat kerjasama, berkongsi amalan terbaik serta meneroka inisiatif strategik yang menyokong pertumbuhan industri jangka panjang selaras agenda pembangunan kerajaan negeri.

Kedua-dua pihak turut mengiktiraf bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MINDET) mempunyai kekuatan dan sumber yang saling melengkapi, yang boleh dimanfaatkan untuk menarik pelaburan berkualiti, mempercepat pelaksanaan projek serta memperkasa industri tempatan.

Dalam sesi tersebut, KKIP berkongsi perkembangan melalui model pembangunan bersepadu merangkumi sektor perindustrian, komersial, logistik, perumahan dan kemudahan sokongan, sekali gus mewujudkan ekosistem menyeluruh kepada pelabur dan tenaga kerja.

Pendekatan ini menjadikan KKIP antara destinasi pelaburan utama di Sabah, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan] dan pengembangan industri.

SEDCO turut menghargai perkongsian pengalaman KKIP, khususnya dalam perancangan taman industri bersepadu dan pemudah cara pelabur, yang akan membantu perancangan inisiatif masa depan termasuk Kudat Blue Economy Industrial Park (KBEIP).

Antara fokus utama perbincangan ialah memperkukuh kerjasama sepanjang rantaian nilai industri Sabah, meliputi perumahan mampu milik, infrastruktur industri dan pembuatan strategik dengan memanfaatkan keupayaan entiti berkaitan negeri.

Delegasi turut melawat kilang IBS KKIP bagi meneroka peluang kerjasama antara KKIP IBS dan SEDCO Precast, selain potensi kerjasama dalam pembangunan taman industri, bandar baharu, infrastruktur dan pelaburan strategik.

Hasil perbincangan tersebut mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama dalam memajukan agenda perindustrian Sabah serta menyokong pembangunan ekonomi negeri yang lebih mampan.