Edar Air, Serbuk Ketum Di Ranau, 6 Lelaki Dicekup

Edar Air, Serbuk Ketum Di Ranau, 6 Lelaki Dicekup

0
SHARE

RANAU: Enam lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan polis dalam siri serbuan berasingan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penjualan air dan serbuk ketum di sekitar daerah ini pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud, operasi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di empat lokasi berbeza melibatkan tiga kampung, antara jam 2 hingga 5 petang.

“Dalam serbuan pertama di sebuah pondok di Kampung Kimolohing, tiga individu ditahan bersama 23 botol plastik berisi air ketum.

“Manakala dalam serbuan kedua, seorang lelaki ditangkap bersama sebotol air ketum di hadapan sebuah rumah di Kampung Lohan Ulu,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi serbuan di Kampung Lohan Skim 1 turut membawa kepada penahanan dua lelaki berasingan bersama rampasan dua botol air ketum dan 15 peket plastik mengandungi serbuk ketum.

“Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Ranau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.