KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa mereka tidak terdesak untuk mencari rakan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sebaliknya kekal fokus terhadap agenda pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Setiausaha Eksekutif GRS, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, berkata formula GRS – Pakatan Harapan Plus (GRS-PH Plus) yang digagaskan oleh Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor merupakan pendekatan yang ampuh dan telah terbukti berkesan dalam mentadbir Sabah secara stabil.
“Kita tidak terhegeh-hegeh untuk cari rakan kerjasama. Apa yang disarankan oleh Presiden adalah formula yang berkesan, iaitu GRS-PH Plus. Titik,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Sentuhan Kasih Gagasan Rakyat DUN Darau Aidiladha Dirai Bersama di sini, hari ini.
Razali yang juga Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Ketua Wanita UMNO Kota Kinabalu, Musliati Moslimin baru-baru ini yang mendakwa dikhianati dalam gabungan politik negeri.
Razali dalam pada itu turut menegaskan bahawa GRS tidak akan melibatkan diri dalam permainan politik persepsi atau mencipta drama media semata-mata untuk meraih simpati rakyat.
“Kita tidak berfantasi tapi kita bekerja. Fokus kita ialah penyampaian, bukan lakonan politik dan kita mahu jadi juara rakyat, bukan juara media,” tegas beliau.
Beliau turut menyentuh kenyataan yang melabelkan GRS sebagai ‘serpihan’, dengan menyatakan bahawa GRS lahir daripada suara dan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan perubahan sebenar dalam pentadbiran negeri.
“Apa yang kita bawa adalah hasil kehendak rakyat yang mahukan sesuatu yang lebih lokal dan relevan. Kita tidak bercakap tentang kehebatan masa lalu, kita bergerak ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Razali yang juga Ketua Gagasan Rakyat Darau turut mengulas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama selepas PRN nanti.
“Bila sampai masanya, kita akan buat keputusan. Tapi sekarang, yang lebih penting ialah bagaimana kita bantu rakyat. Kita tidak tekankan politik, kita tekankan penyampaian,” ujarnya.
Tegasnya, GRS komited untuk terus bekerja di lapangan, menyelesaikan isu-isu rakyat tanpa terlibat dalam perbalahan politik yang tidak membawa manfaat.






