Ewon Kempen Rentasi Pelbagai Daerah Guna Jalan Darat, Sekaligus Nilai Keadaan Infra...

Ewon Kempen Rentasi Pelbagai Daerah Guna Jalan Darat, Sekaligus Nilai Keadaan Infra Luar Bandar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, memilih untuk berkempen menggunakan kenderaan darat dalam siri Jelajah Sabah First, bagi membolehkannya menilai secara langsung keadaan infrastruktur di pelbagai daerah, khususnya di kawasan luar bandar yang sering berdepan laluan rosak dan terpinggir.

Calon N.11 Kadamaian itu berkata, pendekatan turun padang dari kampung ke kampung bukan sekadar usaha mendekati rakyat, tetapi juga cara terbaik memahami realiti hidup serta cabaran harian masyarakat Sabah. Beliau menegaskan bahawa penggunaan jalan darat memberi peluang sebenar kepada pemimpin untuk menyaksikan sendiri kesusahan rakyat luar bandar.

“Ada yang memilih kempen menggunakan helikopter, tetapi saya memilih untuk menaiki kereta. Apabila melalui jalan jauh dan berlubang-lubang, baharulah kita benar-benar memahami kesusahan rakyat,” katanya.

Siri Jelajah Sabah First itu turut membawa mesej perjuangan parti tempatan yang mendahulukan hak dan kepentingan Sabah. Ewon menegaskan bahawa pilihan raya kali ini adalah masa paling penting untuk rakyat memilih pemimpin yang memahami aspirasi negeri berdasarkan semangat Sabah First.

“Pilihan raya ini bukan sekadar memilih wakil rakyat, tetapi memilih pemimpin yang memahami wawasan rakyat Sabah. Pilihlah parti-parti tempatan yang berprinsip dan mempertahankan hak-hak Sabah termasuk tuntutan 40 peratus hasil di bawah MA63,” jelasnya.

Ewon turut menjadikan isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebagai antara fokus utama dalam penerangannya sepanjang jelajah, sekali gus mengukuhkan pendirian UPKO terhadap hak-hak negeri ini.

Jelajah beliau bermula pada 16 November di Membakut, Limbahau, Petagas dan Tanjung Keramat, sebelum bergerak ke Melalap, Bingkor, Liawan, Tulid dan Nabawan pada 17 November. Pada 18 November, siri itu diteruskan ke Kuamut, Telupid dan Labuk, manakala pada 19 November beliau berada di Bengkoka, Tandek dan Bandau.

Program seterusnya dijadualkan berlangsung di Kiulu, Tamparuli dan Inanam pada 21 November, serta Kapayan dan Gum Gum, Sandakan pada 25 November.

Selain menilai keadaan infrastruktur, Ewon turut menegaskan komitmennya memimpin semua calon UPKO menjadi wakil rakyat berintegriti dan teguh pada perjuangan rakyat serta prinsip parti tempatan.

Menurutnya, maruah Sabah hanya dapat ditegakkan melalui pemerintahan yang dipacu pemimpin tempatan yang memahami perjuangan negeri dan tidak mengenepikan kepentingan rakyat.

Dalam PRN17, UPKO bertanding di 25 kerusi dengan kombinasi calon baharu dan berpengalaman, termasuk lima calon wanita: Suzie Salapan (N06 Bandau), Rowindy Lawrence Odong (N31 Membakut), Georgina L George (N37 Karanaan), Norfadzlina Ramsah (N49 Labuk) dan Mohina Sidom @ Mohina Ronnie Sidom (N57 Kuamut).