BANDAU: Kebajikan dan kesejahteraan komuniti menjadi nadi utama dalam perancangan pembangunan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Bandau, Datuk Redonah Bahanda, yang menegaskan kedua-dua aspek itu mesti bergerak seiring demi memastikan rakyat Bandau terus terbela.
Redonah berkata, selain memperkasa pembangunan kawasan, tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat tidak boleh dipandang ringan kerana ia menentukan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhan.
Justeru, pendekatan turun padang melalui Program Ziarah Kasih menjadi platform penting untuk beliau mendengar suara akar umbi secara langsung.
“Pimpinan mesti sentiasa dekat dengan rakyat. Ziarah seperti ini bukan hanya ketika kempen, tetapi adalah budaya kita untuk bersama masyarakat dalam setiap keadaan,” katanya ketika lawatan ke PDM Bintasan Laut.
Dalam sesi ziarah tersebut, beliau turut menghadiri Kenduri 40 Hari Allahyarham Salomah Binti Asik, isteri kepada Ajim Awang, sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada keluarga terbabit.
Datuk Redonah menambah bahawa Program Ziarah Kasih akan diteruskan ke kampung-kampung lain sepanjang kempen bagi memastikan setiap suara, harapan dan keperluan rakyat Bandau diberi perhatian sewajarnya serta dijadikan asas dalam perancangan pembangunan masa hadapan.






