KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperkenalkan satu enakmen baharu bagi memudahkan urusan jual beli dan pengurusan hartanah, khususnya projek yang melibatkan pemaju dan pemilik seperti pembangunan 1Borneo Hypermall, jika diberi mandat untuk memerintah semula pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, beberapa peraturan sedia ada sudah terlalu lama digunakan dan tidak lagi sesuai, justeru perlu digubal semula bagi mempercepatkan urusan antara pembeli, pemilik tanah dan pihak berkaitan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan 1,974 Geran Subsidiari 1Borneo kepada USIA oleh Jabatan Tanah dan Ukur di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Menurut Hajiji, enakmen baharu itu akan menangani halangan teknikal yang sering melambatkan proses jual beli dan pertukaran hak milik hartanah.
“Untuk urusan-urusan yang bersangkutan, kadang-kadang enakmen yang ada tidak lagi berapa sesuai kerana sudah lama, berpuluh-puluh tahun. Jadi kita perlu gubal untuk memudahkan lagi pembeli dan juga pemilik tanah, hartanah ini,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis penyerahan geran itu, Hajiji menzahirkan kesyukuran kerana penyerahan 1,974 geran subsidiari yang ditunggu-tunggu pemilik dan pembeli kedai rumah di 1Borneo akhirnya dapat direalisasikan.
Beliau berkata, penyerahan itu membuktikan kesungguhan Kerajaan GRS mempercepatkan pengeluaran strata title, walaupun terdapat beberapa kekangan teknikal yang masih perlu diselesaikan.
“Yang jelas bahawa Kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah melakukan yang terbaik untuk membantu USIA dan juga pemilik atau pembeli hartanah di 1Borneo,” katanya.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan kerajaan sentiasa komited menyelesaikan isu berkaitan urusan tanah dan hartanah, termasuk mencadangkan satu enakmen baharu bagi memudahkan lagi urusan antara pemaju dan pemilik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada USIA dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur atas kejayaan menyelesaikan masalah dihadapi oleh pemilik atau pembeli hartanah di 1Borneo.
Semenjak diwujudkan, 1Borneo Hypermall telah menjadi antara mercu tanda komersial paling menonjol di Sabah, malah merupakan hypermall terbesar bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh pulau Borneo.
Dengan empat blok kediaman merangkumi 910 geran strata, 21 geran bagi 2,300 tempat letak kereta berbumbung, dan 1,043 geran komersial, termasuk empat buah hotel dengan mempunyai kira-kira 929 bilik.






